Welcome

Wednesday, February 4, 2015

Peristiwa Bersejarah di Bulan Februari

PERISTIWA BERSEJARAH SEKITAR BULAN FEBRUARI
1.   Penggubalan Rang Undang-Undang Perlembagaan
 Pada bulan Februari 1957, Rang Undang-Undang Perlembagaan yang pertama diumumkan tetapi ia telah mendapat banyak tentangan.
Justeru satu lagi jawatankuasa yang terdiri daripada 11 orang ahli, iaitu 4 orang wakil Raja-raja Melayu, 4 orang wakil Kerajaan Perikatan, Pesuruhanjaya Tinggi British, Ketua Setiausaha dan Peguan Negara telah dibentuk untuk mengkaji semula perlembagaan tersebut.


2.   Pertandingan Mencipta Lagu Rasmi Negara
     Pada Bulan Februari 1957, satu pertandingan mencipta lagu rasmi telah diadakan.  Namun empat lagu akhir telah disenarai pendek telah ditolak oleh Jawatankuasa Khas Pemilihan Lagu Kebangsaan (JKPLK) yang diketuai sendiri oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.
     Tunku Abdul Rahman Putra AL-Haj sebaliknya mengesyorkan lagu Negeri Perak sebagai asas bagi mencipta Lagu Kebangsaan Negara Malaysia.  Cadangan itu telah dipersetujui oleh ahli JKPLK yang lain.


3.   PEMBUKAAN RASMI PUSAT PENYIARAN MALAYSIA "ANGKASAPURI"     
(Tarikh peristiwa: 17 Februari 1968)
Pusat Penyiaran Malaysia yang diberi nama "Angkasapuri" dibuka dengan rasminya oleh Perdana Menteri Malaysia, Tunku Abdul Rahman Putra. Komplek Penyiaran Angkasapuri ini di mana Kementerian Penerangan dan Jabatan Televisyen ditempatkan adalah merupakan peringkat pertama Projek Pusat Penyiaran Malaysia.
Bagaimanapun, Jabatan Televisyen yang ditempatkan sementara di Jalan Ampang (sejak tahun 1963) hanya dipindahkan ke Angkasapuri lebih kurang 2 tahun kemudian, iaitu pada 6hb November, 1969.
Peringkat kedua bagi projek Pusat Penyiaran ini hanya selesai dilaksanakan dalam tahun 1972, apabila Bangunan Radio (Wisma Radio) siap pembinaannya dan memulakan siarannya pada 9hb Mei, 1972 tepat pada jam 12.00 tengah malam.


4.   Seruan “Hidup Melayu ditukar kepada “Merdeka”
Pada hari ini 4 Februari dalam tahun 1951 di Persidangan Setengah Tahun Majlis Mesyuarat Perikatan Pemuda - UMNO yang diadakan di Sultan Sulaiman Club Kuala Lumpur, satu syor diterima supaya seruan "Hidup Melayu" itu ditukar kepada "Merdeka".
Seruan "Hidup Melayu" itu digunakan oleh UMNO semenjak ia ditubuhkan dalam tahun 1946 untuk memperkuatkan semangat orang-orang Melayu dalam menentang penubuhan Malayan Union. Sungguhpun ada cadangan supaya syor itu ditambah menjadi "Hidup Merdeka" tetapi cadangan ini tidak diterima oleh Majlis itu.
Seruan "Merdeka" ini didapati lebih sesuai kerana perjuangan UMNO pada masa itu adalah untuk mendapatkan kemerdekaan bagi Persekutuan Tanah Melayu. Seruan "Merdeka" ini digunakan oleh UMNO dalam perhimpunan-perhimpunan besar termasuklah penggunaannya pada hari yang bersejarah iaitu 31 Ogos, 1957 di mana Ketua Menteri Tunku Abdul Rahman Putra telah melaungkan seruan itu dalam pengisytiharan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu.