Welcome

Monday, May 4, 2015

Cadangan Jawapan Kertas 3 SPM Sejarah (Bab 6 : Pengukuhan Negara dan Bangsa Malaysia)

Tips menjawab Soalan soalan Kertas 3

  1. Pastikan calon membawa soalan dengan teliti dan gariskan kata kunci
  2. Fahami kehendak soalan tersebut
  3. Tulis nombor soalan dan tulis esei dengan perenggan supaya pemeriksa senang membaca tugasan anda
Cadangan jawapan untuk Tema Umum

   "Kerajaan British bersetuju  menyerahkan kedaulatan Sabah, Serawak dan Singapura kepada Kerajaan Malaysia pada 31 Ogos 1963.  Sungguhpun begitu, Malaysia telah ditentang keras oleh Indonesia dan Filipina.  Setelah berjaya menghadapi cabaran getir, lahirla sebuah kesatuan yang dikenali sebagai Malaysia pada 16 September 1963"

1. Pengenalan (rujuk Buku Teks, hlm 136)

     Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957 telah membawa kemerdekaan kepada Persekutuan Tanah Melayu .  Persekutuan ini mengandungi 11 buah negeri.  Singapura diletakkan di luar Persekutuan Tanah Melayu seperti dalam Perjanjian Malayan Union 1946 dan Persekutuan Tanah Melayu 1948.  Sabah dan Sarawak kekakl sebagai Tanah Jajahan Mahkota British.  Keadaan ini kekal sehinggala timbul ura-ura Pembentukan Malaysia.  Usaha ini menimbulkan reaksi dan cabaran dari dalam dan luar negeri.  Akhirnya, pembentukan Malaysia diterima dan Perlembagaan Malaysia digubal pada tahun 1963.

2.   Idea/ Cadangan Pembentukan Malaysia (hlm 137-138)

    Idea/ cadangan Pembentukan Malaysia yang pertama oleh Lord Brassey iaitu Pengarah Syarikat Borneo Utara British.  Beliau mencadangkan agar Kerajaan British mengabungkan Sarawaj dan Sabah dengan Negeri-Negeri Melayu dan Negeri-Negeri Selat.
    Idea kedua ialah oleh Sir Malcom MacDonald pada tahun 1948.  beliau seorang Gabenor Jeneral Asia Tenggara.  Cadangan beliau ialah Sarawak, Sabah, Singapura, Brunei dan Persekutuan Tanah Melayu digabungkan.
    Idea atau cadangan seterusnya daripada Dato' Onn Jaafar pada tahun 1956.  Beliau mencadangkan agar Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka dinamai "Malaysia".  Beliau berpendapat pada suatu hari nanti, British akan menggabungkan negeri Sarawak, Sabah, Brunei dan Singapura dengan Persekutuan Tanah Melayu
   Selain itu, ada cadangan atau idea daripada pemimpin Singapura iaitu Lim Yew Hock, David Marshall dan Lee Kuan Yew yang mendesak agar British berunding dengan Tunku Abdul Rahman.  Mereka mencadangkan agar gabungan tersebut diantara Singapura dan Persekutuan Tanah Melayu sahaja.  Namun begitu, cadangan ini tidak dipersetujui oleh Tunku Abdul Rahman kerana akan berlaku ketidakseimbangan penduduk.
   Seterusnya cadangan oleh Tunku Abdul Rahman pada 27 mei 1961.  Beliau bersetuju dengan gagasan Malaysia dan mengumumkan cadangan tersebut dalam Majlis Makan Tengahari anjuran Persatuan Wartawan Luar Negeri di Hotel Adelphi, Singapura.  hasrat beliau ialah pembentukan Malaysia dapat menjamin kedudukan politik yang lebih kukuh dan disegani di rantau ini.  Selain itu, kerjasama ekonomi dan sosial dapat diwujudkan.

3.  Faktor Pembentukan Malaysia (hlm 139-140)
     Pertama ialah faktor politik.  Lee Kuan Yew berminat bergabung dengan Malaysia kerana bimbang pengaruh Barisan Sosialis yang telah menang dalam pilihanraya Hong Lim di Singapura pada tahun 1961.  Ini akan melemahkan Parti Tindakan Rakyat (PAP) kerana Barisan Sosialis dianggap gerakan berhaluan kiri.  Selain itu, kebangkitan Barisan Sosial boleh menggugat rancangan British memerdekakan Singapura.
    Selain itu ialah ancaman komunis yang menjadi faktor pembentukan Malaysia.  Lee Kuan Yew gunakan alasan ini untuk menggabungkan Singapura dengan Persekutuan Tanah Melayu.  Persekutuan Tanah Melayu dianggap mempunyai pengalaman luas dalam membenteras ancaman komunis.
   Tambahan pula ancaman komunis di Sarawak mendorong Tunku Abdul Rahman mencadangkan Pembentukan Malaysia.  Penyertaan Sarawak, Sabah dan Singapura boleh menjadi benteng menghadapi ancaman komunis.
  Pembentukan Malaysia dapat mempercepatkan kemerdekaan Sarawak, Sabah dan Singapura serta Brunei.  Penyertaan negara ini menyebabkan mereka dapat merdeka 2 tahun lebih awal.  Disamping itu juga, mereka dapat menikmati pembangunan sosial, ekonomi dan politik.
     Penubuhan Malaysia merupakan satu proses dekolonisasi Britih terhadap negeri-negeri Melayu. Usul oleh PBB ini  ialah agar tanah-tanah jajahan dimerdekakan.

     Faktor kedua ialah faktor ekonomi.  Penubuhan Malaysia dapat mewujudkan satu pasaran yang lebih luas, menggalakkan pelaburan dan perkembangan pertanian.  selain itu, memanfaatkan sumber dan keistimewaan yang ada kerana Tanah Melayu kaya dengan bahan mentah seperti getah dan bijih timah.

    Faktor ketiga ialah faktor sosial.  Pembentukan Malaysia dapat mengimbangi jumlah dan kadar pertumbuhan kaum.  selain itu, memajukan negari seperti Sarawak dan Sabah.

4.  Reaksi Terhadap Pembentukan Malaysia.

i) Reaksi Dalam Negeri.
 Reaksi dari Singapura ialah Lee Kuan Yew dan PAP sangat menyokong usaha ini.  Namun begitu, penentangan daripada Barisan Sosialis yang mengatakan Pembentukan Malaysia ialah satu bentuk penjajahan bentuk baru.  Mereka menuntut agar cadangan ini mesti mendapat pandangan rakyat Singapura terlebih dahulu.  Maka satu referendum diadakan dan hasilnya rakyat Singapura bersetuju dengan Pembentukan Malaysia.
    Reaksi daripada Sabah ialah pada peringkat awalnya mereka menolak kerana sudah selesa berada di bawah jajahan British.  Begitu juga dengan negeri Sarawak yang menolak cadangan tersebut pada peringkat awal.  Namun setelah pelbagai usaha dilakukan rakyat Sabah dan Sarawak sudah dapat menerima gabungan ini melainkan Pasti SUPP yang menolak cadangan ini kerana bimbang Sarawak akan dikuasai oleh Persekutuan Tanah Melayu.
   Reaksi dari Tanah Melayu pula, semua parti politik bersetuju kecuali Parti PAS yang meminta idea ini dirunding terlebih dahulu dengan penduduk Persekutuan Tanah Melayu.

ii) Reaksi Luar Negeri
   Reaksi dari Indonesia ialah Indonesia membantah pembentukan Malaysia.  Walaupun pada peringkat awal, Indonesia tidak menunjukkan reaksi tetapi pada akhir tahun 1962, mereka mula membantah.
   Indonesia berpendapat Pembentukan Malaysia ialah satu bentuk neokolonisme yang akan mengancam Indonesia. Pandangan ini disuarakan oleh Parti Komunis Indonesia (PKI) yang telah mempengaruhi Presiden Soekarno sehingga mereka mengisytiharkan Dasar Konfrontasi dengan Konsep Ganyang Malaysia.
   Antara tindakan Indonesia untuk mengagalkan Pembentukan Malaysia ialah menghantar pengintip dan melakukan serangan terhadap kapal-kapal nelayan Tanah Melayu.  Selain itu, Indonesia telah melakukan pencerobohan di ruang udara Tanah Melayu.  
  Indonesia turut melancarkan serangan ke atas Tanah Melayu melalui Johor, Sarawak dan Sabah.  Serangan ini menyebabkan Malaysia mengambil tindak balas dengan bantuan daripada tentera komanwel.
  Bukan itu sahaja, malah Indonesia turut memburuk-burukkan nama Malaysia di negara Afro-Asia dan Negara Dunia Ketiga.  Justeru, pewakilan Malaysia yang diketuai oleh Tun Abdul Razak telah mengadakan lawatan ke negara-negara Asia bagi menjelaskan hubungan Malaysia dengan Indonesia.
  Reaksi daripada Filipina ialah Kerajaan Filipina dibawah Presiden Macapagal mendakwa bahawa Sabah itu adalah hak milik Kesultanan Sulu.  Tuntutan ini berdasarkan perjanjian yang ditandatangi pada 22 Januari 1878 diantara Sultan Jamalul Alam dan Baron Von Overbeck.  Walau bagaimanapun, perjanjian ini telah tamat pada 22 Januari 1958.


Cadangan Jawapan KBAT : calon mesti memilih jawapan yang tepat berdasarkan soalan pada tema khusus.

Soalan :  Tindak balas pemimpin negara terhadap penentangan Indonesia dan Filipina terhadap Pembentukan Malaysia.

  Tindak balas yang dilakukan oleh Pemimpin Negara sewaktu penentangan Indonesia dan Filipina terhadap Pembentukan Malaysia ialah menyusun semula pasukan pertahanan atau Askar Wataniah.  Selain itu, kita juga memberikan latihan ketenteraan kepada masyarakat supaya mereka sentiasa bersedia.  Pemimpin Negara juga mengarahkan kawalan yang lebih ketat dipantai dan di laluan strategik yang boleh dicerobohi musuh.  Seterusnya, pemimpin negara mengadakan rundingan dengan pemimpin Indonesia dan Filipina.
  Tindakan lain yang dibuat oleh pemimpin negara kita ialah mengedarkan poster konfrontasi untuk makluman semua rakyat.  Pemimpin Negara juga ada membuat bantahan terhadap pencerobohan Indonesia kepada PBB.
  Pekara ketujuh ialah pemimpin negara telah melawat negara-negara Afrika bagi menjelaskn masalah diplomatik Malaysia dan Indonesia.  Kita juga telah melakukan tindak balas terhadap serangan Indonesia dengan bantuan tentera komanwel.  Pemimpin negara juga menawarkan hadiah bagi penangkapan musuh serta sentiasa mengarahkan supaya melakukan tinjauan udara.

Soalan : Tunku Abdul Rahman berpendapat bahawa penubuhan Malaysia akan menjamin kedudukan politik yang lebih kukuh dirantau ini.  Bincangkan

  Penubuhan Malaysia dapat menjamin kedudukan politik yang lebih kukuh di rantau ini kerana negara akan menjadi lebih besar dan wilayah akan menjadi lebih luas.
  Selain itu, pertahanan negara akan menjadi lebih kukuh kerana pasukan pertahanan dapat bekerjasama antara satu sama lain.  Selaras dengan perluasan wilayah, penduduk akan bertambah ramai.  Penubuhan Malaysia akan dapat membenteras pengaruh komunis yang cuba menyebarkan pangaruh di negeri-negeri yang belum merdeka.  Ekoran itu juga, pasaran menjadi lebih luas dan dapat meningkatkan ekonomi serantau. Akhirnya kawasan serantau juga akan mempunyai tenaga kerja yang lebih ramai.

Soalan : Peranan pelajar menjayakan Konsep 1Malaysia.  Bagaimana pelajar memupuk semangat perpaduan yang kukuh / memupuk rasa cinta dan sayangkan Malaysia.

  Peranan pelajar bagi memupuk semangat perpaduan yang kukuh atau memupuk rasa cinta dan sayangkan Malaysia ialah dengan mengamalkan prinsip Rukun Negara.  Selain itu, pelajar perlu menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi dan bersama-sama menyertai aktiviti sukan dan perkhemahan di sekolah tanpa diskriminasi kaum.
    Pelajar boleh memainkan peranan dengan mengadakan kempen kesedaran kepentingan perpaduan antara kaum dan mempelajari kepelbagaian budaya di Malaysia.
     Selain itu, pelajar boleh bersama-sama mengadakan minggu/bulan berkaitan dengan Semangat 1 Malaysia dan menyertai pertandingan mengarang/menulis esei berkaitan dengan perpaduan kaum di Malaysia.
    Peranan seterusnya ialah belajar menghormati budaya/kepercayaan sesuatu kaum dan sentiasa bergaul mesra sesama rakan pelajar pelbagai kaum.
    Kumpulan perbincangan/group study yang melibatkan pelbagai kaum amat digalakkan dalam usaha memupuk perpaduan atau cintakan Malaysia.
     Antara peranan lain yang boleh dimainkan oleh para pelajar ialah mengunjungi rumah terbuka bagi rakan-rakan yang berlainan bahasa dan juga mengadakan aktiviti gotong-royong di sekolah bersama-sama semua kaum dan sentiasa menjaga/meningkatkan nama baik sekolah secara bersama.
   
Soalan : Kejayaan yang dicapai oleh Malaysia

    Kejayaan yang dicapai oleh Malaysia ialah dengan pembinaan Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) dan juga KLIA 2.  Selain itu, tersergam megah Menara Berkembar Petronas Kuala Lumpur/KLCC yang menjadi mercu tanda dan antara bangunan tertinggi di dunia.
      Selain itu, kejayaan yang dicapai oleh negara kita ialah pembinaan Litar Formula One di Sepang berjaya menarik pelancong asing seterusnya meningkatkan ekonomi negara.  Kejayaan lain ialah, pembinaan Menara Kuala Lumpur dengan restoran berputar dapat menyaksikan keindahan Bandaraya Kuala Lumpur.
      Antara kejayaan yang telah dicapai oleh Malaysia ialah Perisytiharan Melaka/Pulau Pinang/sebagai bandaraya warisan dunia serta Kejayaan pelayar negara Dato Azhar Mansor berjaya mengelilingi dunia secara solo.
       Kejayaan seterusnya yang dicapai dan membanggakan rakyat Malaysia Program Angkasawan Negara/Dr.Sheikh Muzaffar Shukor dan Dato’ Sharifah Mazlina berjaya merentasi kutub selatan serta Dato Malik Maidin merentasi Selat Inggeris.
        Seterusnya, pembinaan Koridor Raya Multimedia (MSC), Jambatan Pulau Pinang dan Jambatan Sultan Abdul Halim Shah juga dilihat sebagai kejayaan yang dicapai oleh Malaysia. 
         Tidak dilupakan, Kemajuan sistem pengangkutan awam seperti LRT,MRT dan Monorel banyak memberi keselesaan dan kemudahan kepada rakyat malaysia. Terakhirnya, kejayaan yang dapat dicapai oleh Malaysia ialah pengeluaran Kereta nasional seperti Proton Saga/Myvi/Preve/Persona/Inspira.

Soalan: Kewajaran tindakan Tunku Abdul Rahman mengeluarkan Singapura daripada Malaysia.

  Singapura wajar dikeluarkan daripada Malaysia untuk menjamin keharmonian negara. Selain itu, tindakan ini dapat menjamin keselamatan negara dan mengukuhkan perpaduan.  
  Kewajaran tindakan ini dapat dilihat untuk mengelakkan berlaku rusuhan kaum serta mengelakkan tercetusnya isu perkauman.
   Lain daripada itu, kewajaran dapat dilihat tindakan ini dapat mewujudkan kestabilan politik dan mewujudkan keamanan untuk negara.  Seterusnya, kerajaan dapat menumpukan pembangunan negara yang lebih baik.
    Selain mengukuhkan pertahanan negara, tindakan ini amat wajar kerana menunjukkan kebijaksanaan pemimpin yang berfikiran jauh ke hadapan.

Soalan : Cara meraikan hari Malaysia pada 16 September setiap tahun untuk mengukuhkan penghayatan terhadap semangat Penubuhan Malaysia.

   Cara untuk meraikan Hari Malaysia dalm usaha mengukuhkan penghayatan terhadap semangat Penubuhan Malaysia ialah dengan melibatkan diri dalam Perbarisan Hari Malaysia.  Kita juga boleh mengibarkan bendera Jalur Gemilang di rumah-rumah kita.  Kita juga patut mengadakan pameran yang berkaitan dengan Malaysia serta menganjurkan forum-forum yang berkaitan juga.
   Seterusnya, belajar mengenal tokoh-tokoj yang berkaitan dengan merealisasikan Penubuhan Malaysia dengan cara membaca bibliografi atau membuat kajian tentang mereka.
       Disamping itu, menganjurkan Majlis Tahlil untuk pejuang-pejuang negara dan sentiasa berdoa untuk kesejahteraan Negara.

Soalan : Cabaran / Masalah yang dihadapi oleh Malaysia menjamin kedaulatan negara serta usaha/ langkah/ cara mengatasi nya.

i) cabaran/ masalah
            Cabaran / Masalah yang dihadapi oleh Malaysia ialah kesukaran mendapat pengiktirafan dari negara maju.  cabaran kedua ialah gejala keruntuhan akhlak remaja akibat daripada nilai-nilai kemanusiaan semakin pudar.
        Cabaran ketiga ialah Penyalahgunaan dadah yang semakin merebak di kalangan belia yang bakal menjadi pemimpin negara di masa hadapan.  Cabaran ke empat ialah Institusi kekeluargaan semakin luntur/penceraian meningkat menyebabkan ramai rakyat mula hilang jati diri dan sukar dibawa berunding.  Cabara ke lima ialah Demonstrasi jalanan untuk menyuarakan ketidakpuasan hati semakin berleluasa sehingga menampakkan bentuk bentuk keganasan yang bakal sukar untuk dikawal.

ii) Usaha/Langkah/cara
         Usaha/Langkah/cara mengatasinya ialah dengan Melahirkan modal insan berkualiti.  Usaha seterusnya ialah Memperkukuh jati diri dalam program PLKN untuk pelajar lepasan SPM.
        Usaha/Langkah/cara lain yang dapat dibuat ialah dengan memperkasakan sekolah agama bagi membentuk insan yang kamil dan cemerlang dunia dan akhirat.  Usaha/Langkah/cara keempat ialah dengan Menerapkan integriti diri dalam setiap rakyat menerusi sifat Bersih Cekap dan Amanah. Usaha/Langkah/cara seterusnya, Mengukuhkan institusi kekeluargaan supaya dapat Memantapkan peranan masyarakat untuk mengatasi gejala sosial.

 Soalan : Penerapan nilai-nilai  murni/iktibar/patriotisme
    Nilai-nilai  murni/iktibar/patriotisme ialah perlunya kerjasama antara pemimpin dengan pemimpin dan pemimpin dengan rakyat. Nilai-nilai  murni/iktibar/patriotisme seterusnya ialah kita perlu Berfikiran positif dan melakukan rundingan untuk menyelesaikan masalah.
    Nilai-nilai  murni/iktibar/patriotisme ketiga ialah masyarkat kita perlu berani untuk berdaya saing dengan negara-negara yang lebih maju. Nilai-nilai  murni/iktibar/patriotisme ke empat ialah, kita mesti berbangga dengan pencapaian negara.  Seterusnya, Nilai-nilai  murni/iktibar/patriotisme kelima ialah tidak mudah putus asa walau sering berdepan dengan pelbagai rintangan dan kesusahan serta sentiasa memelihara jati diri.
.
Soalan : Rumusan

    Pengetahuan yang saya perolehi ialah pada peringkat awal Penubuhan Malaysia, kita menghadapi pelbagai cabaran seperti penentangan dari Indonesia dan Filipina. Namun begitu, saya juga memperolehi pengetahuan bahawa dengan usaha dan kesungguhan para pemimpin, segala masalah itu dapat diatasi dan akhirnya Penubuhan Malaysia dapat dilaksanakan.
       Iktibar untuk diri, bangsa dan negara ialah, usaha yang bersungguh-sungguh tanpa rasa putus asa dan menggunakan kebijaksanaan maka segala masalah akan dapat diatasi dengan segera.  Selain itu, iktibar yang saya dapati ialah semangat perpaduan dapat menjayakan sesuatu rancangan.
        Harapan saya agar Malaysia dapat dan mampu bersaing dengan negara-negara maju dari segi ekonomi dan politik dan mampu mencorakkan aspek sosial dalam bentuk kita tersendiri.


  • pastikan anda menulis nombor soalan dan tulisan mestilah cantik dan kemas